Program Jejak Pesaka Negeri Kelantan
Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), dengan kerjasama bersama Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, Majlis Daerah Pasir Puteh, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh dan beberapa agensi agensi kerajaan negeri lain telah memilih lokasi Pasir Puteh sebagai lokasi ‘Jejak Pesaka’ bagi tahun 2011. Program ini merupakan anjuran bersama dengan pihak agensi pelancongan dan pemandu pelancong Negeri Kelantan dalam mempromosikan jejak-jejak peninggalan sejarah di negeri ini untuk diketengahkan.
Dalam program ini, peserta yang terlibat adalah terdiri daripada kumpulan agensi pelancongan dan pemandu pelancong dari seluruh tanah air. Kumpulan ini juga akan dihadiri oleh wartawan media yang akan membuat liputan dan promosi mengenai jejak-jejak peninggalan sejarah yang boleh diketengahkan dan ditonjolkan kepada generasi muda sekarang. Perkara ini dilihat dapat memberikan kesan kepada masyarakat supaya jejak-jejak pesaka dan tinggalan sejarah tidak sepatutnya dilupakan, kerana dengan mengenali dan menghayati sejarah kita akan dapat mempelajari adat dan budaya serta jati diri sesuatu bangsa.
Pendekatan yang dilakukan oleh pihak TIC dan agensi-agensi kerajaan yang lain dalam mempromosikan kisah Tok Janggut ini patut diberikan pujian dan perlu dicontohi. Ini kerana rata-rata masyarakat tempatan mahupun luar negeri hanya mengenali kisah Tok Janggut melalui teks dalam buku Sejarah Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima. Tetapi hakikatnya masyarakat di Pasir Puteh sendiri tidak tahu di mana asal kejadian pertumpahan darah antara Tok Janggut dan tentera British. Sejarah ini kian dilupakan ditelan masa, remaja dan golongan muda sudah kurang mengambil berat jejak-jejak tinggalan Tok Janggut ini.
Dengan terlaksananya program ini, diharap masyarakat akan lebih sedar dan akan lebih menghargai nilai sejarah. Apatah lagi perjuangan Tok Janggut adalah suatu jihad menentang penjajahan British di Pasir Puteh. Perjuangan ini akan terus kekal dalam lipatan sejarah dan akan tetap dikenang, malah akan lebih gah lagi dijulang oleh anak bangsa yang telah merdeka kini.