Kempen Galakan Membayar Cukai
2 Mei 2011 - Majlis Daerah Pasir Puteh melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Rayuan dan Taksiran yang telah bersidang pada 21 April 2011, telah memutuskan supaya satu kempen galakan untuk menbayar cukai pintu dilaksanakan. Perkara ini telah disahkan dalam Mesyuarat Penuh MDPP Bil. 4 / 2011 pada 28 April 2011. Kempen ini bermula setelah mendapat pengesahan atau diendorskan dalam Mesyuarat Penuh tersebut dan tarikh muktamad adalah bermula 2 Mei 2011 dan berakhir pada 30 Jun 2011.
Kempen ini memberi peluang kepada para pembayar cukai menjelaskan cukai mereka dengan memberikan potongan sebanyak 20% (pengurangan dua puluh peratus) daripada jumlah tunggakan. Kempen ini adalah tertakluk kepada jumlah tunggakan yang dibayar sahaja, dan ianya tidak tertakluk kepada jumlah atau kadar cukai semasa. Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rayuan dan Taksiran MDPP, Tuan Haji Abdul Aziz @ Abdul Ayah b. Mahmood menjelaskan bahawa perkara ini dilaksanakan sebagaimana pendekatan yang diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia dalam menyelesaikan isu saman. Oleh itu, beliau meminta supaya masyarakat lebih prihatin dengan masalah dan isu semasa PBT yang terpaksa menanggung tunggakan cukai yang besar setiap tahun, berbanding jumleh pendapatan sebenar yang diperolehi.
Dengan sedikit kesedaran yang diberikan oleh masyarakat ini, diharap dapat membantu MDPP dalam mengurangkan tunggakan dan dapat menampung kos perbelanjaan PBT yang kian meningkat saban tahun. Oleh itu, beliau meminta kerjasama masyarakat supaya mengambil peluang dan kesempatan yang diberikan atau yang disediakan oleh pihak MDPP ini untuk menjelaskan semua tunggakan cukai pintu dalam tempoh yang telah dinyatakan.
Dalam pada itu, MDPP juga telah menyediakan kain rentang, membuat makluman dan hebahan melalui masjid dan juga melalui akhbar Sinar Harian, memaklumkan kepada masyarakat mengenai kempen ini, bila bermula dan bila berakhir. Justeru adalah wajar jika tindakan tegas diambil ke atas pemilik premis yang enggan atau gagal menjelaskan tunggakan cukai dan cukai semasa setelah semua usaha pemberitahuan telah dilakukan oleh pihak MDPP.