Cili Jana Pendapatan Lumayan
Oleh Torek Sulong
PASIR PUTEH, 30 Jun- Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bukit Awang dekat sini yang aktif dengan penanaman cili secara komersial sejak lebih sedekad lalu terus mengorak langkah dalam bidang yang lebih arif iaitu menghasil cili berkualiti tinggi tanpa terikut-ikut menceburi bidang baru lain.
Memulakan pengeluaran cili puri berkualiti tinggi melalui kilangnya yang beroperasi sejak November tahun lalu, PPK Bukit Awang meluaskan langkah dengan menyasarkan hasil tanamannya 1.2 tan metrik setiap hari.
Pengerusinya, Mohd. Agil Awang memberitahu, ia bagi memenuhi permintaan awal lima buah syarikat pengeluar sos cili secara berterusan iaitu kepada Nestle Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Syarikat MH Mohd Sdn. Bhd., Sos Wan Sdn. Bhd., Hot Cili Premium dan syarikat pengeluar Sos Ummi.
Beliau berkata, perjanjian persefahaman (MoU) bagi pembekalan bahan itu yang diproses di kilang cili yang terletak di perkarangan PPK Bukit Awang telah disempurnakan baru-baru ini. Kilang yang terletak di belakang pejabat PPK itu yang disiapkan dengan peruntukan RM1.1 juta oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkeupayaan untuk memproses enam tan metrik sehari.
"Pembinaan kilang itu adalah satu usaha menaiktaraf dalam mengembangkan projek tanaman cili yang mendapat sambutan hangat di kalangan petani sebagai tanaman alternatif kepada tembakau," katanya. Mohd. Agil berkata, sebelum pembinaan kilang tersebut, PPK berkenaan telah pun menyediakan bilik sejuk dan pusat penggredan hasil bagi menjamin pengeluaran yang bermutu tinggi.
Menurut beliau, selama ini Syarikat Nestle (Malaysia) menjadi payung kepada projek penanaman cili apabila ia merupakan pembeli utama cili kulai basah dengan kuota sebanyak 400 tan metrik setahun.
''Syarikat itu yang mengeluarkan produk dengan pelbagai jenama turut mengeksport hasilnya ke 14 buah negara termasuk Eropah dan kami harus mengeluarkan cili bermutu tinggi mengikut piawaian yang ditetapkan," ujarnya.
Sehingga kini katanya, PPK Bukit Awang mempunyai rangkaian ladang cili seluas lebih 70 hektar di Kelantan yang membabitkan 190 penanam di seluruh negeri.
''Penanam secara terancang mengikut kaedah yang ditetapkan dan diusahakan oleh kalangan petani yang bersedia memikul tanggungjawab bagi meraih rezeki yang setimpal memberikan keyakinan kepada PPK untuk terus berusaha menjana pendapatan petani," katanya.
Mohd. Agil berkata, lima penanam yang mengusahakan secara serius, memperoleh pendapatan antara RM20,000 hingga RM47,000 semusim dalam tempoh enam bulan telah dipilih sebagai Penanam Cili Jaya.
"Mereka yang memperoleh pendapatan lumayan itu ialah Mohd. Noor Awang sebanyak RM47 000, Ishak Abdullah (RM32,000), Alami Muhammad (RM22,000), Deraman Daud (RM21,000) dan Musa Mat Hassan RM20,000.
Katanya, PPK memulakan projek penanaman cili secara kecil-kecil melibatkan empat orang petani pada tahun 1994 dan pada tahun 1995 projek itu dilaksanakan secara kontrak dengan Syarikat Nestle.
"Jumlah peserta mula bertambah kepada 25 peserta di kawasan seluas 10 hektar dengan kuota sebanyak 120 tan metrik," katanya.
Sekarang, katanya, keseluruhan penanam yang terlibat ialah seramai 300 orang dan ia akan semakin bertambah dengan MoU yang ditandatangani dengan lima syarikat pada peringkat awal.