PENANG – 16 Disember 2010; Seramai 144 agensi kerajaan dan badan berkanun telah menghadiri Majlis Anugerah Penarafan 5 BINTANG bagi laman sesawang yang telah dibangunkan oleh pihak SKALI Web Services Sdn. Bhd (Skali) dengan pembiayaan peruntukan yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Agensi yang terlibat terdiri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Malaysia dan beberapa agensi bandan berkanun seperti RISDA, KADA, KESEDAR dan sebagainya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 70 PBT dan badan berkanun telah menerima anugerah penarafan 5 BINTANG oleh pihak MDec dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Penarafan 5 BINTANG ini adalah mengikut kategori yang telah dibuat oleh pihak MDec dan SKMM dengan merujuk dan menilai kepada bentuk penyampaian dan capaian maklumat yang disediakan. Setiap laman sesawang perlu mempunyai ciri-ciri kemudahcapaian maklumat dan masa muat turun yang telah ditetapkan selain mempunyai visual yang boleh dilayari dengan cepat tanpa menunggu atau memakan masa yang lama.
Berucap dalam ucapan aluan wakil MDec, Puan Gayah Ghulam Haidar telah menyatakan bahawa prestasi keseluruhan laman sesawang yang dibina di setiap PBT adalah setanding dengan laman-laman sesawang antarabangsa yang sering dikunjungi dan dilayari oleh pelayar di seluruh dunia. Manakala pada bengkel kali ini, beliau menyatakan perlunya pada setiap laman sesawang dimasukkan laman interaksi seperti Laman Facebook atau Laman Twitter. Setiap pegawai yang mengandalikan laman sesawang di agensi masing-masing perlu memainkan peranan dengan mengadakan laman agensi di Facebook atau Twitter untuk berinteraksi dengan pelayar atau masyarakat pelayar internet di samping memberikan maklumat dan maklum balas terkini bagi agensi dan pentadbiran mereka.
Wakil-wakil agensi rata-rata mengucapkan terima kasih kepada pihak Skali dan pihak EPU kerana telah menyediakan satu peruntukan yang besar bagi membantu pihak PBT khususnya dalam membangunkan bidang teknologi maklumat selari dengan aspirasi kerajaan. Ini kerana untuk membangunkan dan menyelenggara sesebuah laman sesawang memerlukan kepakaran dan kos yang tinggi bagi terutama PBT yang tidak mempunyai pegawai teknologi maklumat dan sumber kewangan yang terhad. Dengan adanya peruntukan dan bantuan daripada pihak Kerajaan Persekutuan, PBT-PBT tidak akan ketinggalan dalam apa jua aspirasi negara.


