Wakaf Tuan Farrer ini telah dibina antara tahun 1915 -1930 0leh Ketua Jajahan yang berbangsa Inggeris iaitu Tuan Farrer. Wakaf ini diabadikan sebagai warisan sejarah dan dijadikan jalan pekeliling antara Jalan Nara, Jalan Pondok, Jalan Kg.Kelubi dan Jalan Sek. Ren. Keb. (C) Kai Chih. Wakaf ini menjadi mercu tanda Bandar Pasir Puteh pada masa pentadbiran Tuan Farrer sehingga kini.
Tuan Farrer adalah seorang Ketua Jajahan Pasir Puteh sekitar tahun 1909. Beliau merupakan D.O (Ketua Jajahan) Inggeris yang ke-3 menjadi pentadbir Jajahan Pasir Puteh. Beliau telah mengilhamkan supaya mendirikan sebuah wakaf rehat menunggu bas sementara ‘Rest Pavillion’ di persimpangan jalan utama dari Pusat Bandar Pasir Puteh ke Kota Bharu dan ke Machang. Tujuan wakaf ini dibina adalah untuk memberi kemudahan kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan perkhidmatan awam seperti bas dan kereta sewa ataupun beca.
Pada Bulan Julai 2007, Wakaf Tuan Farrer ini telah roboh akibat dari kemalangan jalan raya, di mana sebuah kenderaan telah merempuh dan meranapkan struktur wakaf ini sama sekali. Dengan keprihatinan pihak MDPP dan bebrapa agensi kerajaan yang lain, satu kata sepakat dicapai untuk membina dan memberi nafas baru kepada wakaf yang mempunyai nilai sejarah ini. Pada tahun 2010, wakaf baru sebagaimana struktur asal telah dibina dengan berdasarkan rupa dan rekabentuk yang asal. Bezanya ialah wakaf dahulu adalah daripada kayu tetapi wakaf baru ini dibina secara kekal. Walaubagaimanapun, beberapa struktur asal seperti kayu alang dan kasa jantan masih menggunakan bahan asal. Dengan naik taraf atau nafas baru yang diberikan kepada wakaf Tuan Farrer ini, diharap ianya akan dapat menjadi suatu daya tarikan dari segi pelancongan dan warisan kepada masyarakat tempatan dan luar negara.