MENU

Bomba Sukarela MDPP Terima Proton Arena

Pasir Puteh – 8 Februari – Pasukan Bomba Sukarela telah menerima sebuah Proton Arena sumbangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan. Kenderaan ini disumbangkan kepada pasukan Bomba Sukarela yang aktif dan giat melakukan aktiviti serta terlibat secara langsung dalam operasi menyelamat atau kebakaran.

Pasukan Bomba Sukarela MDPP telah ditubuhkan pada tahun 1999, dengan jumlah kekuatan 30 anggota yang terdiri dari pelbagai jawatan dan gred dalam MDPP. Pasukan ini seringkali menjadi sebutan di peringkat negeri kerana pelbagai  anugerah telah diterima di peringkat jajahan dan kebangsaan, terutamanya dalam aktiviti membantu pasukan bomba dalam operasi kebakaran, menyelamat dan juga telah beberapa kali menyertai konvensyen Bomba Sukarela di peringkat kebangsaan.

Dengan adanya kenderaan yang disumbangkan ini, diharap anggota pasukan ini akan lebih bersemangat dan lebih komited dalam membantu pasukan Bomba jajahan Pasir Puteh dalam pelbagai operasi yang memerlukan tenaga tambahan. Zameri Abdul Rahman selaku ketua pasukan menyatakan pasukannya bersedia dalam apa jua keadaan dan pada bila-bila masa yang diperlukan untuk memberikan sumbangan tenaga bagi membantu dalam apa jua operasi yang dibenarkan oleh pihak Bomba.

Sehingga kini, pasukan Bomba Sukarela MDPP telah melakukan operasi mencegah kebakaran bengunan terbakar di kawasan Bandar Pasir puteh, dan baru-baru ini, pasukan ini telah terlibat secara langsung dalam operasi kebakaran kedai Mutiara milik MDPP di pusat Bandar Pasir Puteh, operasi menyelamat di Terusan Tok Bali, operasi menyelamat di Lagun Semerak dan juga sering menjalankan latihan bersama dengan agensi kerajaan pada pertengahan tahun lepas yang dikendalikan oleh pihak Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.

 

Bomba Sukarela MDPP Terima Proton Arena

Bomba Sukarela MDPP Terima Proton Arena