MAJLIS ANGKAT SUMPAH DAN PENERIMAAN WATIKAH PERLANTIKAN AHLIMAJLIS MAJLIS DAERAH PASIR PUTEH
PADA : 26 MUHARRAM 1431H
BERSAMAAN : 12 JANUARI 2010
TEMPAT : BILIK GERAKAN, PEJABAT TANAH DAN JAJAHAN
PASIR PUTEH – Seramai 19 pemimpin masyarakat dari empat DUN dan satu Parlimen di sini telah mengangkat sumpah dan menerima watikah perlantikan sebagai Ahli Majlis Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) bagi sesi 2010, daripada YB Dato’ Takiyudin bin Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan. Majlis ini turut di hadiri oleh Yang Dipertua MDPP, Tn. Hj. Wan Abdul Aziz bin Wan Jaafar, Setiausaha MDPP, En. Mohd Shamsul Baharin bin Isa, YB Ahli Parlimen Pasir Puteh, YB ADUN Limbongan, ADUN Gaal dan ADUN Semerak, semua ketua-ketua jabatan Persekutuan dan Negeri serta pegawai MDPP.
YB Dato’ Takiyudin Hassan dalam ucapan perasmiannya menyatakan hasratnya supaya semua Ahlimajlis yang dilantik dapat memainkan peranan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan menyerlahkan keupayaan MDPP sebagai sebuah PBT yang hebat dan disegani di Kelantan. Di samping itu juga, beliau menyatakan bahawa setiap aduan masyarakat perlu dinilai terlebih dahulu dan diambil tindakan yang sewajarnya supaya dapat mencapai tahap kepuasan pelanggan yang tinggi. Ahlimajlis yang dilantik ini juga merupakan mata telinga malah menjadi cermin kepada corak kepimpinan dan pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan yang menggunakan moto ‘MEMBANGUN BERSAMA ISLAM’. Justeru itu, setiap tindakan dan keputusan hendaklah didasarkan kepada peruntukan dan kehendak Kerajaan Negeri.
Majlis pada kali ini menyaksikan beberapa perlantikan semula Tn. Hj. Che Bisi bin Hassan sebagai Ketua WHIP, manakala terdapat beberapa Ahlimajlis yang baru dilantik menggantikan yang lama, serta menyambung perkhidmatan Ahlimajlis yang sedia ada bagi meneruskan khidmat dan perancangan terdahulu. Majlis ini hanya menyenaraikan seramai 19 Ahlimajlis, lantikan daripada Parti Islam Semalaysia (PAS), manakala 4 lagi masih kosong yang mana bakal diisi oleh wakil Parti Keadilan Rakya (PKR) dalam masa terdekat.


